MENU

Misteri Kolam Air Panas

Waktu yang tunggu sudah tiba. Tuk Tenang masih bersila lagi tanpa menghiraukan anak buahnya yang lain. Sebenarnya Tuk Tenang sedang memikirkan sesuatu. Dia harus membuat keputusan yang tepat.

Setengah jam kemudian, Tuk Tenang kembali merenung anak-anak buahnya. Wajahnya kembai berseri lalu dia memberi sebuah senyuman kepada semua anak buahnya. Tuk Tenang mengambil keputusan nekad untuk meninggalkan bumi Segamat.

Pada hari yang ditetapkan, bersiap sedialah Tuk Tenang untuk merantau bersama dengan 30 orang keluarga anak buahnya. Tuk Tenang sendiri membawa kelima-lima anaknya yang terdiri dari Halimah, Abu Soat, Shahabudin, Hassan dan Abu Bakar.

"Tuk Tenang terpaksa meninggalkan tanah tumpah darahnya, Segamat kerana dia merasakan dirinya sudah tidak serasi dengan bumi Segamat itu," ujar Haji Ahmad Layot merupakan salah seorang dari keturunan Tuk Tenang.

Menurut Haji Ahmad Layot lagi, sehingga sekarang nama Tuk Tenang sentiasa menjadi kebanggaan penduduk Kampung Tenang. Malahan nama Tuk Tenang terus bersemadi bersama-sama dengan nama kampung tersebut.

Penerokaan Kampung Tenang bermula sejak awal tahun 1801. Lebih kurang 189 tahun yang lampau. Tuk Tenang membersihkan kawasan baru itu bersama anak buahnya. Pada mulanya bumi yang baru diterokai itu tidak begitu subur.

Tuk Tenang yakin bahawa segala usaha yang dilakukannya akan mendatangkan hasil. Oleh kerana itu, Tuk Tenang bercucuk tanam dan bersawah padi di Kampung baru itu. Segala yang diusahakan memberi manfaat yang besar kepada mereka. Semua tanaman termasuk padi terus menjadi-jadi. Malah zuriat Tuk Tenang terus bertambah dan berkembang sehingga ke hari ini.

Tuk Tenang sendiri menjadi penghulu di kampung tersebut. Dia yang mempunyai kepandaian dalam ilmu dunia dan akhirat, jadi tumpuan anak-anak buahnya, tempat mengadu dan meminta nasihat.

Pembukaan Kampung Tenang ini sering dikaitkan dengan penemuan sebuah kolam air panas. Tuk Tenang menjumpai kolam tersebut ketika sedang membersihkan kawasan hutan untuk membesarkan kawasan Kampung Tenang.Tuk Tenang mendapati seluruh kawasan kolam itu berair. Lalu dia mengambil kata sepakat dengan anak-anak buahnya untuk membuat sawah. Setelah membersihkan kawasan berair di sekitar kolam tersebut maka jadilah kawasan sawah.Lama-kelamaan Tuk Tenang mendapati di sekitar sawahnya mengeluarkan buih seperti buih air panas yang mendidih.

Akhirnya Tuk Tenang membiarkan saja kawasan itu dan menjadikannya sebuah kawasan kolam air untuk membasuh pakaian dan bermandi manda. Selain untuk kegunaan harian, mereka juga mempercayai air panas itu boleh memulihkan sebarang jangkitan penyakit kulit. Dipercayai air panas dari kolam itu juga menyegarkan badan. Kerana cerita-cerita itulah kolam air panas jadi tumpuan seluruh penduduk berhampiran.

"Ada juga pihak yang mengatakan, suatu waktu dulu, entah bila, sebuah kapal dagangan yang membawa belerang tenggelam di dasar kolam itu. Peliknya, di sekitar kawasan air panas itu tidak ada kesan-kesan yang kolam tersebut merupakan sebuah laluan sungai. Ini sukar untuk dipercayai," terang Haji Ahmad Layot dengan nada perlahan. Dia yakin dan percaya semuanya itu adalah cerita yang ditokok tambah.

Malah dalam sejarah pembukaan kampung tersebut menunjukkan yang kolam itu telah pun ada sebelum berlakunya Perang Jementah dalam tahun 1879. Mustahil pula ada kapal yang tenggelam di dasar kolam air panas itu diputar belitkan.

Sehingga sekarang, Kolam Air Panas, di Kampung Tenang terus menjadi misteri kepada penduduk sekitar serta orang luar. Apa yang disayangkan kolam air panas itu terus terbiar sepi tanpa perubahan. Beberapa tahun lalu ada juga pihak tertentu berusaha memulihkan kolam tersebut tetapi sekerat jalan saja. Namun sehingga ke hari ini, masih ada pelawat-pelawat dari jauh datang menjenguk kolam tersebut.

Sekitar kolam air panas itu sudah dipenuhi semak samun. Titi yang dibina sudah kelihatan usang tanpa dibaikpulih. Ini sungguh merbahaya jika tidak berhati-hati ketika menggunakannya. Keluasan kolam tersebut semangkin kecil disebabkan oleh rumput rampai yang tumbuh. Jika keadaan ini tidak diambil berat oleh pihak tertentu maka akan pupuslah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada penduduk Kampung Tenang sejak dari zaman pembukaannya.Sekurang-kurangnya Kolam Air Panas di Kampung Tenang Labis, Johor ini boleh dijadikan salah satu tempat kunjungan pelancong dari luar dan akan menambahkan satu lagi kawasan rekreasi negara.

(Sumber petikan/Rujukan:/VS Februari 1991)