MENU

PENGENALAN DAN SEJARAH PENUBUHAN LABIS

Daerah Kecil Labis dahulunya adalah gabungan beberapa Kampung Melayu yang di antaranya terdiri dari Kampung Paya Merah, Kampung Tenang, Kampung Sungai Gatom dan beberapa kampung lain.Penduduk kebanyakan bersawah padi untuk mendapatkan beras sebagai sumber makanan utama disamping ternakan ayam dan itik. Terdapat sebuah ladang getah yang dibuka oleh Inggeris dikenali sebagai North Labis Estate dan beberapa ladang di sekitar labis. Dengan adanya ladang kelapa sawit di chaah, telah menyebabkan kemasukan kaun India sebagai buruh di ladang.

Pekan Labis, Chaah dan Bekok pula, suatu masa dahulu adalah kawasan penempatan semula kaum cina semasa berlaku darurat, di mana kerajaan telah membina rumah-rumah tersusun bagi menempatkan penduduk-penduduk dari kawasan pendalaman dan hutan daripada diburu atau dipengaruhi anasir komunis pada masa itu.

Latar Belakang Majlis Daerah Labis

  • Penubuhan ini Majlis Tempatan telah diwartakan pada 9 Oktober 1980 melalui JPU 26 Jilid 24 No. 21 sebagaimana berikut :-
    • Luas kawasan sebagaimana ditunjukkan melalui Pelan Warta (PW) 1265 seluas 47.26 batu persegi iaitu 122.4 km persegi atau 12,240 hektar.
    • Tarikh pemakaian Akta Kerajaan Tempatan 1976 – Akta 171 adalah serentak dengan tarikh penubuhan Majlis Tempatan iaitu pada 1 September 1979 .
    • Pemakaian Akta ini adalah selaras dengan kehendak seksyen 2 (1) Akta yang sama dan telah diwartakan pada 30 Ogos 1979 melalui Warta Kerajaan JPU 68.

Sejarah awal penubuhan Majlis adalah terdiri daripada 5 Majlis Tempatan

  • Labis
  • Chaah
  • Bekok
  • Ayer Panas
  • Sungai Karas

Kesemua Majlis Tempatan ini telah dicantumkan pada 1 Januari 1977 di bawah seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan-peruntukan Sementara) 1973 – Akta 124.

Pada masa yang sama Majlis Tempatan ini telah melebarkan perluasannya dengan menambah dua lagi kawasan iaitu dengan memasukkan kawasan Tenang Station dan Sawah Padi menjadikan 7 kawasan semuanya iaitu :-

  • Labis
  • Chaah
  • Bekok
  • Ayer Panas
  • Sungai Karas
  • Tenang Station
  • Sawah Padi

Percantuman atau penyatuan ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan JPU 23 dan JPU 24. Satu Lembaga Pengurus telah dilantik bagi mentadbir kesemua Majlis Tempatan yang telah dicantumkan ini. Cantuman Majlis-majlis Tempatan ini dikenali dengan satu nama iaitu Majlis Daerah Segamat Selatan.

Percantuman ini yang telah dilakukan adalah dari segi pentadbiran sahaja. Ianya telah diurus oleh satu Lembaga Pengurus. Pengwartaan di bawah seksyen 3 Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah membenarkan MDSS mencantumkan kesemua kawasannya dari segi fizikal pula iaitu dengan mengambil kira kawasan ½ batu (40 rantai) atau 0.8 km daripada kiri kanan jalan utama sebagai MDSS sebagaimana yang telah ditunjukkan melalui Pelan Warta 1265.

Majlis Pelancaran penubuhan MDSS ini telah dilakukan oleh wakil YAB Menteri Besar Johor pada 29 Disember 1976 bertempat di Dewan Jubli Intan Segamat.

Majlis Daerah Segamat Selatan kepada Majlis Daerah Labis

Satu rundingan telah diadakan antara Pihak Berkuasa Negeri dan Majlis Daerah Segamat Selatan untuk menukar nama Majlis Daerah Segamat Selatan kepada Majlis Daerah Labis. Pemberitahuan ini hendaklah disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1hb Januari 2001.

 Sebagaimana Warta Kerajaan J. P.U.27, AKTA KLERAJAAN TEMPATAN 1976 Pemberitahuan di bawah Subseksyen 4(1) bertarikh pada 17hb Jun 2002.

Bangunan Pejabat Majlis Daerah Labis telah dirasmikan pada Jumaat 25hb Julai 2008, oleh Putera Mahkota Johor bersempena Kembara Mahkota Johor tahun 2008