Ahad | 14 Julai 2024
Pada hari ini, satu program gotong royong pembersihan parit dan pembetung telah dianjurkan di kawasan sekitar persimpangan Jalan Ibrahim, Pekan Labis. Program ini dianjurkan oleh Majlis Daerah Labis dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Labis, SWM Environment Sdn. Bhd Labis dan RANHILL SAJ Segamat.
Tujuan utama program ini adalah untuk membersihkan parit dan pembetung yang sering tersumbat akibat sampah sarap dan daun-daun kering. Masalah ini telah mengakibatkan banjir kilat dan gangguan kepada pengguna jalan raya sekitar terutamanya ketika musim hujan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah penyebaran penyakit bawaan air.
Program ini dimulakan seawal jam 930 pagi. Peserta program yang terdiri daripada kakitangan Majlis Daerah Labis, anggota bomba, wakil pekerja SWM Environment Sdn. Bhd Labis dan RANHILL SAJ Segamat kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menjalankan tugas pembersihan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.
Selain itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Labis, Encik Shamsul Ariff Sulaiman dan Encik Muhamad Hafiz Bin Mokrey, Setiausaha Majlis Daerah Labis turut turun padang bagi memantau pembersihan di kawasan tersebut.
Program ini adalah salah satu inisiatif berterusan majlis untuk memastikan infrastruktur saliran di pekan Labis sentiasa berada dalam keadaan baik dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan masalah tersumbat di masa hadapan.
Kerjasama antara pelbagai agensi menunjukkan semangat gotong royong yang tinggi dalam menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran. Pihak Majlis Daerah Labis merancang untuk meneruskan program-program seumpama ini di masa hadapan di kawasan-kawasan lain yang memerlukan perhatian.
Majlis Daerah Labis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap agar kesedaran mengenai kepentingan kebersihan persekitaran akan terus meningkat dalam kalangan masyarakat.