Rabu | 24 April 2024
Pada hari ini, wakil dari Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Encik Ahmad Fakrul Radzi Bin Arifin dan Encik Muhammad Faiz Bin Zakaria , Penolong Jurutera awam telah menjalankan naziran projek MYKIOSK@KPKT di peringkat Majlis Daerah Labis yang diiringi oleh Encik Muhammad Edika Bin Kamil, Pegawai Tadbir Majlis Daerah Labis.
Ia merupakan salah satu inisiatif yang dibiayai oleh peruntukan Belanjawan Tahun 2023 dengan matlamat untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Naziran ini bertujuan untuk menilai kemajuan serta memastikan pelaksanaan projek mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Antara faktor yang dinilai termasuk faktor keselesaan, faktor kebersihan dan faktor ekonomi sekaligus bagi mendapatkan maklum balas daripada peniaga pendapat dan pandangan mengenai kegunaan dan manfaat MYKIOSK@KPKT.
Melalui naziran ini, JKT KPKT dapat mengenalpasti sebarang isu atau kekurangan yang perlu diatasi bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada komuniti setempat. MYKIOSK@KPKT diharap dapat menjadi satu langkah progresif dalam mempermudahkan urusan harian rakyat, meningkatkan mutu perkhidmatan awam, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan Majlis Daerah Labis.
Naziran ini juga memperlihatkan komitmen KPKT dalam memastikan setiap projek yang dibiayai oleh Belanjawan 2023 dilaksanakan dengan telus, berkesan, dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.