11 Julai 2024 | Khamis
Majlis Penyerahan Gerai Penjaja MyKiosk@KPKT telah diadakan dengan jayanya pada hari ini. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu penjaja dan peniaga kecil memajukan perniagaan mereka melalui penyediaan kemudahan gerai yang moden dan selesa.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Shamsul Ariff Bin Sulaiman, Yang Dipertua Majlis Daerah Labis diiringi oleh Encik Muhamad Hafiz Bin Mokrey, Setiausaha Majlis Daerah Labis bagi penyerahan replika simbolik kunci dan patil perniagaan kepada 22 orang penjaja gerai MyKiosk@KPKT peringkat Majlis Daerah Labis.
Gerai Penjaja Mykiosk@KPKT ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti elektrik dari sumber solar dan reka bentuk yang mesra alam dan moden. Dengan adanya kemudahan ini, para penjaja kini dapat berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan menarik lebih ramai pelanggan.
Turut hadir bersama Ahli Majlis, Ketua-ketua bahagian dan wakil kakitangan Majlis Daerah Labis.
Majlis Daerah Labis berharap agar para penjaja dapat memanfaatkan gerai Mykiosk@KPKT ini dengan sebaik-baiknya dan terus maju dalam perniagaan mereka. Pihak Majlis juga komited untuk terus menyokong dan memantau perkembangan penjaja-penjaja ini bagi memastikan inisiatif ini mencapai matlamatnya.
Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberi sokongan kepada majlis ini. Semoga usaha ini membawa manfaat yang besar kepada komuniti kita.